Wednesday 1 October 2014

TEKS UCAPAN YANG BERHORMAT DATO’ SERI IDRIS BIN JUSOH

Bismillahhirramanirrahim
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

PENDAHULUAN
       Pertama, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama  kembali untuk sesi penutupan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah. Persidangan ini memberi kesempatan kepada saya untuk menzahirkan penghargaan  atas kerja keras warga Kementerian Pendidikan Malaysia dan warga pendidik dalam memastikan kelangsungan pelaksanaan Program Transformasi Daerah, satu inisiatif utama di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 .
       Terlebih dahulu saya merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak  terutamanya, Bahagian Pegurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pendidikan Malaysia yang menganjurkan Persidangan Kebangsaan ini bersama Majlis Pegawai Pendidikan Daerah Malaysia (MPPDM). Juga ucapan terima kasih kepada Majlis Pegawai-Pegawai Pendidikan Negeri Johor selaku tuah rumah  mengelola dan memastikan kejayaan Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah.   Persidangan ini merupakan medan ilmu kepada semua Pegawai Pendidikan Daerah dan Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah seluruh negara  berkongsi ilmu pengetahuan dan amalan terbaik untuk meningkatkan kemahiran dalam menentukan kejayaan DTP.  Usaha ini  pasti akan menghasilkan satu lonjakan berganda kepada pendidikan negara. HALATUJU DAN CABARAN

Hadirin  yang saya hormati sekalian,

       Program Transformasi Daerah atau District Transformation Programme (DTP) ini telah diangkat sebagai satu inisiatif utama Sektor Pelajaran, KPM dalam Program Transformasi Perkhidmatan Awam yang telah dilancarkan oleh YBhg Ketua Setiausaha Negara pada awal tahun ini.  Ini bermaksud bahawa Kerajaan sentiasa menghargai peranan para Pegawai pendidikan daerah sebagai agen pelaksana PPPM 2013-2025.   Saya penuh yakin  seramai 365 orang peserta persidangan kebangsaan ini, sebagai sebuah pasukan pendidikan, telah dapat menghayati budaya prestasi puncak  (peak performance) dalam melaksanakan tanggungjawab untuk mentransformasi sistem pendidikan kita. Saya juga percaya para pegawai pendidikan daerah  menepati janji yang telah dikotakan pada 2013 iaitu membantu pemahaman pihak sekolah dalam menghadapi cabaran dan mengetahui punca utama cabaran justeru melindungi sekolah daripada bebanan pentadbiran bagi membolehkan sekolah memacu peningkatan kualiti pengajaran dan pembelajaran.   Sebagaimana di dalam akujanji tersebut, PPD bukan sahaja menjadi badan penyelesaian masalah malah memberikan sokongan dan sumber yang diperlukan kepada sekolah untuk menghadapi cabaran.   Di samping itu, PPD juga telah mengenali dan mengiktiraf amalan baik di sekolah dan menyebarkan amalan baik di seluruh daerah.
       Di bawah Anjakan ke 6 PPPM ini, setiap PPD perlu memahami bahawa kejayaan DTP diukur dari segi tahap kepimpinan, cara bekerja, akauntabiliti, efikasi dan kelangsungan usaha yang berterusan. Kejayaan program rintis DTP di Sabah dan Kedah melalui program yang berstruktur dan sistematik membuktikan proses penambahbaikan prestasi sekolah dapat dipacu oleh Pejabat Pendidikan Daerah.  Kita berbangga kerana kedua-dua negeri ini berjaya mencatat prestasi UPSR 2013  terbaik dan tertinggi di negara.  Seperti yang diumumkan oleh YAB Timbalan Perdana menteri merangkap Menteri Pendidikan semasa Perutusan Tahun Baru 2014 di Putrajaya, gred purata Kedah dan Sabah meningkat 0.06 dan 0.07 mata berbanding purata peningkatan kebangsaan sebanyak 0.04. Justeru, kejayaan kedua-dua negeri ini merupakan petanda bahawa PPD mempunyai peranan yang sangat penting dan mempunyai impak tinggi dalam pencapaian dan kecemerlangan sistem pendidikan negara secara menyeluruh. Saya yakin Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah mampu mengubah mindset untuk mengubah peranan dan lebih berdaya saing melakar kejayaan seperti mana Kedah dan Sabah. Saya ingin benar melihat kecemerlangan anda, para Pegawai Pendidikan Daerah kerana anda lah tulang belakang kepada kejayaan pelaksanaan PPPM 2013-2025 secara keseluruhannya. 

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

       Bertepatan dengan tema Persidangan kali ini iaitu, DTP: Hala Tuju dan Cabaran,  KPI DTP 2015 adalah pencapaian utama untuk setiap PPD. Kekuatan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebagai barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam menyokong peningkatan prestasi sekolah akan melicinkan usaha negara untuk mentransformasi sektor pendidikan secara lebih menyeluruh. Bagi memastikan KPI  dapat dicapai menjelang tahun 2015, PPD perlulah memberi sokongan yang padu kepada pihak sekolah. Sokongan itu boleh datang dalam pelbagai bentuk, iaitu,
Pertama,  Penetapan sasaran yang jelas agar pihak sekolah tahu arah tuju pretasi sekolah mereka.
Kedua, membantu Pengetua, Guru Besar dan guru-guru sekolah melalui program Jurulatih Pakar Pembangunan Sekolah (SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (SIPartners+).
Ketiga, mewujudkan kolobarasi antara sekolah dan penempatan semula sumber kepada sekolah yang lebih memerlukan bimbingan, pemantauan, pementoran oleh pihak PPD berdasarkan data.
                  Peranan PPD  kini tidak lagi bersifat kepimpinan pentadbiran semata-mata, kini lebih ke arah  kepimpinan instruksional. PPD tidak lagi dilihat sebagai satu organisasi yang hanya  tertumpu kepada agenda-agenda pentadbiran seperti mesyuarat, upacara, majlis dan kerja-kerja pentadbiran yang lain tetapi lebih kepada kepimpinan instruksional di mana 50% fungsi PPD ditumpukan kepada  lawatan ke sekolah, bimbingan, pementoran dan juga program dan aktiviti yang memberikan impak yang tinggi kepada pembelajaran dan pembelajaran. Di samping itu, PPD perlu menyediakan sokongan secara terus kepada pemimpin sekolah dan bertindak secara proaktif dalam mengurus prestasi sekolah bagi memastikan keberhasilan murid secara holistik dapat dibangunkan.
                 Peranan SIP+ dan  SISC+  di semua 138 PPD seluruh negara secara sepenuh masa adalah sangat signifikan dalam membantu sekolah meningkatkan prestasi mereka.   Pada tahun ini, 339 SIP+ dan 1278 SISC+ di tempatkan di PPD seluruh negara.  Pembimbing guru dan kepimpinan sekolah yang dirintis di Kedah dan Sabah telah berjaya membantu meningkatkan kesedaran guru kepada amalan pengajaran yang lebih berkesan di samping pengurusan sekolah yang lebih cekap. Melalui DTP,  saya percaya guru mendapat sokongan terbaik supaya dapat meningkatkan kualiti sekolah dengan pengurangan sebanyak 50% dalam band 6 dan 7 di Sabah dan Kedah. InsyaAllah, menjelang tahun 2015 kita akan berjaya mencapai sasaran sifar bagi kedua-dua band tersebut.
              
Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

                 Amalan baik merupakan sesuatu yang perlu sentiasa dikongsi bersama-sama Amalan baik “Thinking School Learning Nation (TSLN)”  menjadi visi Kementerian Pelajaran Singapura. Sekolah-sekolah di Singapura mengamalkan pembelajaran berpasukan sebagai perkongsian maklumat, membuat perancangan dan menyelesaikan masalah secara kolektif dan menambah baik peluang pembelajaran serta mengaplikasi kemahiran. Budaya pembelajaran berpasukan memberikan sokongan padu kepada setiap ahli dalam pasukan, selain memudahkan tugasan seharian.  Usaha ini telahpun kita amalkan di bawah Professional Learning Community (PLC) yang dianjurkan di bawah PPPM.   Situasi ini terhasil apabila guru dapat bekerjasama secara harmoni dalam sebuah pasukan, saling membantu dan saling mengambil berat. Tugasan sukar dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dengan sokongan emosi yang kuat dalam sebuah pasukan yang mantap. Sikap saling membantu menyelesaikan masalah, saling berkongsi pengetahuan dan pengalaman serta saling menghormati antara satu sama lain adalah indikator sebuah pasukan kerja yang cemerlang.

Hadirin dan hadirat yang saya hormati,

            Oleh yang demikian, marilah kita menjadi seorang PEGAWAI PENDIDIKAN PELAJARAN HEBAT agar kita dapat melahirakan lebih banyak daerah di Malaysia kita sebagai DAERAH YANG HEBAT. Seterusnya, sama-samalah kita mewujudkan kesepakatan, kebersamaan dan kesepaduan yang utuh untuk terus setia memberi khidmat bakti dan memastikan kemanjadian murid-murid kita. Marilah kita melakukan perubahan minda, lonjakan berganda dan meneroka dimensi baru pendidikan  abad ke 21 Malaysia Negara maju.

Akhir kalam, marilah kita bersama-sama menjayakan transformasi pendidikan bagi memenuhi hasrat dan aspirasi negara kita menjadi sebuah negara  bertaraf dunia. Seiring dengan tema Persidangan PPD, saya mengajak Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah untuk bekerja bersama-sama saya bagi memastikan hala tuju dan cabaran  DTP berjaya menjadikan negara kita antara yang terunggul di persada dunia. Kepada Allah kita berserah dan kepadaNya jua kita memohon pertolongan.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutup Persidangan Pegawai-pegawai Pendidikan Daerah Peringkat Kebangsaan 2014.


Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamjalaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment